Assalamualaikum,
Masih lagi kita berbicara tentang Assobiyah
melayu? Kini ada di kalangan kita yang menisbahkan dirinya sebagai
pejuang melayu Islam? Kalau dulu 'cukup dengan Islam' sahaja. Kini
seolah-olah tidak lengkap Islam itu kalau tidak ada predikatnya. Maka
ditambahlah di sana 'melayu Islam'. Pastinya ini mendorong
saudara-saudara Islam yang lain yang berada di luar kelompok bangsa
melayu menamakan pula diri mereka pejuang 'Cina Islam', pejuang
'Kadazan-Dusun Islam', pejuang 'India Islam'.
Tercapailah hasrat tokoh-tokoh imperialis zaman kolonial untuk
melihat umat Islam ini kembali dalam kelompok suku dan kabilah
masing-masing. Masih ingat Christian Snouck Hurgronje? Seorang tokoh
brilliant Belanda yang ditugaskan bagi mencari jalan penyelesaian untuk
menundukkan umat Islam Aceh yang degil.
Dengan dasar 'Islam politiek' nya Snouck Hurgronje menyarankan
Islam ini dipecahkan kepada tiga aspek. Satu namanya ibadah murni yang
mencakupi soal-soal ibadah, satu lagi aspek sosio politik yang
mencakupi soal-soal pemerintahan dan pentadbiran. Yang ketiga menyentuh
adat istiadat. Sementara umat Islam bebas untuk menjalankan tuntutan
ibadah di masa yang sama pemerintah harus bertegas dalam soal siasah
dan pentadbiran.
Satu lagi kekuatan umat Islam yang dilihat oleh Snouck ialah
perpaduannya. Dia melihat padunya persaudaraan Islam di Mekah. Oleh itu
dia menyarankan satu-satunya jalan untuk memecahkan kesatuan umat Islam
ialah dengan mengembalikan mereka kepada adat-istiadat sebelum Islam.
Jika adat-adat dan kepercayaan lama ini dihidupkan semula maka umat
Islam akan kembali menobatkan suku dan kelompok masing-masing. Dalam
konteks nusantara mereka akan melihat diri mereka sebagai orang Aceh
atau Jawa atau Sunda atau Minang atau Melayu dan ratusan suku bangsa
yang lain sebelum mereka melihat diri mereka sebagai sebahagian dari umat Islam.
Untuk memenuhi objektif ini maka dikirimkan sarjana-sarjana seperti
NJ Krom dan Brandes untuk membuat kajian ilmiah tentang adat istiadat
dan bahasa pertuturan suku kaum di nusantara. Dikirim pula pakar-pakar
arkeologi untuk membaik pulih candi-candi lama peninggalan SriVijaya
dan Majapahit. Candi-candi ini dijadikan mercu tanda kegemilangan spt
Prambanan, Mendut, Borobodur dan sebagainya. Dihidupkan semula epik
zaman hindu seperti 'Asmaradana' dan 'Hikayat Pandawa Lima'.
Watak-watak hero bagi setiap suku dinobatkan sebagai ikon seperti
halnya Hang Tuah (orang melayu) dan Cindor mato (orang Bugis).
Aspek-aspek magis dan heroik meskipun tidak Islamic pada watak-watak
hero ini diraikan dalam hikayat dan penglipur lara. Dilagakan pula suku
melayu dan Jawa melalui watak seperti Hang Tuah.
Snouck amat memahami bahawa di nusantara ini sebelum Islam tidak
ada satu faktorpun yang menyatukan mereka. Setiap suku bangsa duduk
dalam lingkungan mereka dan melihat suku bangsa lain sebagai pesaing
yang perlu ditundukkan. Lantaran itu suku sunda dan Jawa sentiasa
berperang meskipun kedua-duanya beragama syiwa-buddha. Orang Sunda
membina Kerajaan Pajajaran (Jawa Barat) sedang orang Jawa membina
empayar Majapahit (Jawa tengah dan barat). Orang melayu dan Jawa memang
tidak pernah sepakat dan sentiasa bermusuhan.
Apakah pendekatan Snouck ini berjaya? Snouck tidak akan mampu
meleraikan faktor yang menyatukan umat Islam di nusantara. Kerana
faktor penyatuan umat Islam di mana-mana pun di atas muka bumi ini
bertolak dari hati nurani. Allah berfirman
'berpeganglah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai berai,
dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulu bermusuhan
lalu Allah mempersatukan hatimu sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi
bersaudara... Bagaimana mungkin persatuan yang tunjangnya adalah tauhid
dapat dileburkan. Umat islam diperingatkan 'Sesungguhnya kamu adalah
umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah
akan daku'.
Setelah umat Islam ditewaskan dalam medan peperangan fizikal yang
parah di Aceh (1873 - 1913), Perang Paderi Minangkabau (1821 - 1837),
Perang Diponogoro Jawa (1830 - 35), Perang Banten (1881 - 1888) mereka
bangkit kembali mengumpul kekuatan di medan siasah. Apabila Serikat
Islam tertubuh pada tahun 1905, umat Islam bangkit dengan kekuatan
baru, dengan senjata yang lebih ampuh iaitu perpaduan. Apabila Serikat
Islam mengadakan kongresnya yang pertama di Bandung, penyertaan
mencecah 80,000 orang dan mereka datang dari
Aceh hingga sejauh Makassar bahkan Bali juga menghantar perwakilan.
Dalam hanya beberapa tahun pendukung SI mencecah 2 juta orang dari seluruh nusantara merangkumi ratusan suku kaum. Sejarah
tidak pernah menyaksikan penyatuan yang sedemikian rupa. Nusantara
pernah disatukan di bawah hegemoni politik imperial Majapahit yang
ditunjang oleh suku Jawa. Namun penyatuan ini artificial sifatnya dan
tidak dapat dipertahankan apabila hegemoni politik Majapahit berakhir
di tangan Kerajaan Islam Demak.
Apakah bahasa perantara yang digunakan di dalam kongres SI? Bahasa
yang digunakan ialah Bahasa Melayu. bahasa pertuturan bangsa melayu
diangkat menjadi bahasa rasmi kongres sedangkan suku bangsa melayu
adalah suku bangsa minoriti di bandingkan dengan suku Jawa dan Sunda
yang menjadi tuan rumah kepada kongres SI. Bagaimana bahasa melayu
mengalami lonjakan sedemikian rupa. Apakah ketuanan melayu yang menjadi
faktornya?
Wahai adek-adek dan anak-anak ku, mari kita bedah persoalan ini untuk mencari jawapannya dalam siri yang seterusnya InsyaAllah.
Hafidzi MN
No comments:
Post a Comment