Assalamualaikum,
Menyambung
perbicaraan lalu. Kongres Serikat Islam (SI) yang pertama diadakan di
Bandung. Dan bahasa rasmi kongres ialah bahasa melayu sedangkan SI
bermula di Pulau Jawa. Ia diasaskan oleh seorang ahli perniagaan yang
bernama Hj Samanhudi. Beliau telah melantik seorang aristokrat Jawa
yang datang dari keluarga ulama iaitu Hj Omar Said Said Cokrominato sebagai Pemimpin Agung SI.
Persoalan yang menjadi fokus kita dalam
perbincangan ini ialah bahasa melayu yang dipilih untuk menjadi Bahasa
rasmi Kongres. Bahkan Bahasa melayu tulisan Jawi menghiasi logo SI yang
berlambangkan banteng (kerbau) dan senjata tradisi nusantara. Apa
istimewanya bahasa melayu di kalangan suku Jawa yang mendominasi SI
ketika itu. Bahkan suku melayu adalah suku minoriti di Nusantara.
Bahkan apabila Indonesia memplokamirkan kemerdekaan suku melayu hanya
mewakili 12% dari pelbagai suku di Kepulauan
melayu Indonesia dan suku Jawa mewakili 40%. Tetapi bahasa melayu yang
diangkat menjadi bahasa rasmi Republik Indonesia bukannya bahasa Jawa,
bahasa yang ibunda majoriti rakyat Indonesia.
Sebabnya adek-adek dan anak-anak ku, bahasa melayu
adalah bahasa yang menjadi wahana Islam di nusantara. Bahasa yang
miskin dengan perbendahraan kata inilah yang dipilih oleh para du'at
yang datang mengembangkan Islam di kepulauan melayu untuk menjadi
medium dakwah. Bahasa lain tidak melayakkan untuk memainkan peranan
tabligh ini sebab sarat dengan konsep-konsep anti tauhid dan syirik.
Bahasa Jawa umpamanya kaya dengan istilah sanskrit sehingga jika bahasa
Jawa yang dipilih maka akan kaburlah risalah. Tetapi bahasa melayu yang
miskin itu murni dari pelbagai konsep dan
falsafah. Lalu bahasa yang miskin diangkat darjatnya dengan dipompa
dengan ratusan istilah-istilah Rabbani dan Qurani lalu jadilah ia
bahasa ilmu. Dengan pemerkasaan ini bahasa melayu melonjak menjadi
bahasa lingua franca yang menghubungkan seluruh suku bangsa di
kepulauan melayu bahkan menjadi bahasa perantara dengan
pedagang-pedangan dari eropah dan dipertuturkan sejauh Lisbon, Genoa dan Venice.
Ulama yang lahir di seluruh pelusuk nusantara
menulis kitab-kitab mereka dan menumpahkan buah fikiran mereka dengan
menggunakan bahasa melayu. Syeikh Arshad Banjar menulis kitanya dalam
bahasa melayu, Syeikh Abdul Rauf Singkili dari Aceh menulis kitabnya dalam bahasa melayu, Syeikh Nuruddin ar-Ranir dari
Gujarat yang bermastautin di Aceh juga menulis kitabnya dalam bahasa
melayu. Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Makasiri juga menulis kitabnya
dalam bahasa melayu. Begitu juga Hamzah Fansuri, Samsuddin
al-Sumaterani dan Syeikh Abdul Samad al-Falembangi. Mereka tidak
menggunakan bahasa ibunda dan dialek daerah masing-masing kerana hanya
bahasa melayu yang mempunyai perbendahaaran kata yang cukup untuk
menjadi bahasa dakwah, bahasa tabligh.
Lalu seluruh suku bangsa di kepulauan melayu nusantara yang jumlahnya mencecah 200 lebih suku kaum dari
Menado (sulawesi Utara), Ambon dan Maluku sehingga Papua di timur dan
Aceh, Mandailing dan Batak di barat menisbahkan diri mereka sebagai
rumpun bangsa melayu. Dalam ertikata yang lain bahasa melayu menjadi
wahana penyatuan yang pertama di nusantara dan ini hanya mungkin dengan
Islam. Islamlah yang telah menyatukan pelbagai suku kaum di nusantara
melalui bahasa melayu. Dalam kongres SI yang pertama inilah Hj Omar
Said Cokrominato mengistiharkan tuntutan 'self bestuur' iaitu
kemerdekaan bagi rakyat di seluruh kepulauan melayu. Pengistiharaan ini
dibuat dalam bahasa melayu.
Adek-adek dan anak-anak ku. Apa yang boleh kita
simpulkan di sini? Bangsa melayu yang rendah martabatnya itu mendapat
jatidirinya dari Islam yang telah mewarnai
bahasa, budaya dan pandangan hidup (worldview) orang melayu. Demikian
tingginya darjat orang melayu yang diperolehinya dari
Islam sehingga seluruh suku bangsa di nusantara ini menisbahkan diri
mereka dengan bahasa melayu. Dalam ertikata yang lain kehebatan orang
melayu adalah kerana Islam. Jika orang melayu hendak mengekalkan
kehebatan ini maka pertahankanlah Islam yang ada pada orang melayu.
Mempertahankan Islam ini bermaksud mengajak dan menyeru semua manusia
yang ada di kalangan mereka (di Malaysia) supaya berpaksilah kepada
Islam dan hanya kepada Islam. Jika seruan itu sudah berubah kepada
seruan yang menjurus kepada kesetiaan kepada bangsa dan pemerkasaan
kepada bangsa maka orang lain akan beransur-ansur menjauhkan diri
mereka dari Islam yang menjadi sumber rahmat kepada seluruh manusia.
Adek-adek dan anak-anak ku jangan terpedaya dengan
slogan-slogan 'Memartabatkan kesetiaan bangsa'. Kesetiaan kita hanya
kepada Allah dan Rasulnya'.
Kita adalah kaum
yang menjadi mulia dengan Islam. Maka barangsiapa mencari selain Islam
tidak akan menambahkan padanya selain kehinaan'
Dr Hafidzi Mohd Noor
Sambungan akan datang - Kejatuhan Khalifah dan takluknya Palestin adalah berpunca dari bahana Assobiyah
No comments:
Post a Comment