Thursday, December 10, 2009

Lubang Hitam (Black Hole) Dan Sumpah Besar



Allah berfirman dalam surah Al-Waaqiah, ayat 75 dan 76:
فَلَا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ

Maka Aku (Allah) bersumpah dengan (demi) “tempat jatuh” bintang-bintang.
وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَّوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ

Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar jika kamu mengetahui.

Ungkapan “waaqi’a” - tempat jatuh - perhatikan ayat 75 ( juga disebut dalam surah Al-Kahfi ayat 53 yang bertujuan; tempat jatuhnya para pendosa - neraka). Kata dasarnya ialah waqo’aa yang bermaksud tempat jatuh, kejatuhan, jatuh, tenggelam, kemusnahan. Mengikut sesetengah versi tafsiran lain ia bermaksud suatu kejadian atau peristiwa yang memusnah. Tetapi dari segi bahasa disini, ia lebih menjurus kepada “tempat”. Jadi maknanya lebih cenderung kepada “tempat jatuh, musnah, mati, hilangnya bintang-bintang”.

KEHIDUPAN BINTANG

Bintang-bintang melangsungkan kehidupan bersama letusan-letusan “bom” hidrogen dipermukaannya (sentiasa menggelegak sifatnya). Semasa letusan berlaku, suatu porsi (portion of) jirim (matter) ditukar kepada tenaga, yang memancarkan haba yang tidak terkira panasnya.

Sejumlah 2 juta kilogram arang batu diperlukan untuk mengeluarkan haba yang sama suhu dengan yang dikeluarkan oleh 1 gram jirim (matter) yang terdapat di bintang-bintang.

Proses di matahari kita (sebenarnya ialah bintang bersaiz sederhana) setiap 4 saat, menukarkan sejumlah 4 bilion kilogram jirim kepada tenaga. Sesebuah bintang itu menggunakan sebahagian kecil jirimnya untuk membuat pembakaran (fuel), dan bila bahan bakarnya sudah kehabisan, maka bintang tersebut akan mengalami proses “kematian”.

Setiap yang hidup pasti mati. Tidak terkecuali bintang-bintang kerana mereka juga “makhluk”. Mereka juga tidak lepas dari hukum lahir dan mati. Semasa sesebuah bintang “dilahirkan” di suatu penjuru cakerawala, yang lain pula mengucapkan selamat tinggal, “kami pergi dahulu, tetapi Pencipta Agung tetap abadi, dan penciptaanNya tetap berlangsung.”
Klik untuk besarkan

Klik untuk besarkan

TEORI LUBANG HITAM

Apa sebenarnya yang dikatakan “lubang hitam” itu? Lubang hitam (black hole) merupakan suatu lokasi/ tempat/ di cakerawala yang mempunyai tarikan graviti yang sangat dahsyat, sehingga cahaya (yang bergerak dalam garis lurus) pun akan “disedut” masuk. Bayangkan kekuatan apakah yang dapat “membelokkan” pergerakan cahaya?

Setakat manakah kekuatan graviti lubang hitam? Untuk mudah memahaminya, cuba bayangkan jika kita meletakkan satu tin minuman ringan seperti Pepsi dan sebagainya, di atas permukaan tanah. Kemudian graviti seumpama lubang hitam dikenakan pada tin tersebut, maka sudah pastilah tin itu akan serta merta menjadi penyek dari atas ke bawah disebabkan graviti yang “gila”. Ini juga bermakna manusia tidak akan dapat berdiri!! (berat badan menjadi beribu malah berjuta kali ganda).
Klik untuk besarkan

Klik untuk besarkan

Lebih dahsyat lagi ialah, bukan sahaja cahaya yang mampu “disedutnya”, dikatakan juga garis masa pun akan “terherot” akibat dari kuasa graviti yang tidak terperi. Dikatakan juga, untuk selamat dari sedutan graviti lubang hitam, sesuatu entiti itu harus berada sejauh 500 tahun cahaya! (perjalanan cahaya selama 500 tahun). Dapatkah para pembaca membayangkan sejauh manakah jarak itu? Sebagai tambahan, menurut anggaran ahli-ahli sains astro-fizik, terdapat mungkin beribu malah berjuta-juta lubang hitam bertaburan diseluruh cakerawala. Dan jika setiap satu lubang hitam memerlukan jarak selamat sejauh 500 tahun cahaya (anggaran), maka berapa luaskah alam cakerawala?! Bukti apakah lagi yang diperlukan untuk manusia sujud menyembah Allah?

BAGAIMANA TERBENTUKNYA LUBANG HITAM?

Sebenarnya tidak dapat dipastikan bagaimana proses sebenar kejadian lubang hitam yang sangat “mengerikan” dengan kekuatannya yang begitu super.

Teori Awal

Orang-orang yang mendalami bidang astrofizik tahu bahawa antara fenomena yang paling menakjubkan di angkasa ialah lubang hitam (black hole).
Klik untuk besarkan

Klik untuk besarkan

Para santis astrofizik berpandangan bahawa lubang hitam terjadi setelah berlakunya “kematian” bintang bersaiz super-raksasa (beribu-ribu kali saiz matahari), iaitu terjadinya letupan “supernova” yang kemudiannnya meninggalkan “teras” dikenali bintang kerdil putih (Neutron Star) yang semakin mengecut mengikut masa, kemudiannya semakin padat.
Klik untuk besakan

Klik untuk besakan

Dikatakan jirim dari teras itu mengalami kepadatan yang amat dahsyat sehingga apabila jika diambil jirim-jirim tersebut walau sebesar kepala jarum lalu diletakkan di permukaan bumi, maka serta merta ia akan tenggelam jauh ke dalam tanah akibat beratnya yang terlampau.

Pengecutan teras tadi terus berlaku lalu membentuk super-graviti yang menarik apa sahaja termasuk partikel cahaya. Kuasa graviti ini sangat kuat sehinggakan cahaya yang mempunyai kelajuan kira-kira 300,000 km/j pun tidak mampu melepaskan diri. Mana-mana cahaya yang melintasi lubang hitam pasti akan disedutnya. Begitu juga bintang-bintang dan planet lain yang berdekatan akan turut “dibaham” lubang hitam. Lubang hitam juga dikenali sebagai tempat dimana bintang-bintang berjatuhan.

Kewujudan lubang hitam adalah bersimpulkan dari fakta bahawa ianya umpama pusaran air yang menarik segala jirim, memancarkan gelombang radiasi serta menelan cahaya dan bintang yang ada berdekatan dengannya. Menurut Stephen Hawking, kajian tentang lubang-lubang hitam adalah yang paling menarik. Stephen Hawking mengemukakan fakta bahawa lubang hitam memancarkan radiasi (yang kemudiannya dikenali sebagai Radiasi Hawking) dengan merujuk kepada hukum tenaga (physical laws of energy).

Teori Baru Tentang Terjadinya Lubang Hitam

Mengikut sekumpulan saintis yang cuba menguak misteri disebalik kegelapan lubang hitam (lihat lampiran video), ia (lubang hitam) tidak dapat dipastikan bagaimanakah berlakunya lubang hitam. Namun mereka berhasil mengenengahkan suatu kesimpulan baru yang menakjubkan! Apakah itu? Jika sebelum ini lubang hitam dikatakan mempunyai kekuatan dahsyat yang “memusnahkan” namun kali ini berbeza pula hasil kajian mereka. Lubang hitam sebenarnya adalah ibarat “pemproses” kepada gugusan bintang-bintang yang kita kenal sebagai galaksi, termasuklah Bima Sakti yang kita diami ini. Dan yang lebih menakjubkan ialah kemungkinan besar disetiap pusat galaksi ada mempunyai lubang hitam. Ini membawa kepada andaian bahawa pusat setiap galaksi sebenarnya adalah lubang hitam!

Jangan pula anda takut.. Jika berpandu kepada kajian terbaru (lihat video) lubang hitam terbahagi kepada dua iaitu aktif (berbahaya) dan tidak aktif (hanya berfungsi dengan tugas yang telah ditetapkan oleh Penciptanya). Lubang hitam aktif hanya “mengganas” semasa proses awal pembentukan sesebuah galaksi iaitu peringkat dimana bintang-bintang serta planet masih ditahap debu dan awan gas (peringkat ini planet pada sesebuah galaksi masih belum terbentuk atau dilahirkan - galaksi itu sendiri belum terbentuk).

Dengan terkumpulnya debu dan awan gas (di suatu sudut cakerawala yang direncana oleh Allah), maka lubang hitam memainkan “peranannya”. Akibatnya gumpalan debu dan awan gas tadi berputar kerana kuasa graviti dari lubang hitam. Maka dengan proses demikian berlakulah segala pergerakan, mampatan dan letusan yang diperlukan untuk melahirkan gugusan bintang-bintang dan planet, lalu akhirnya terbentuklah sebuah galaksi atau pendudukan masyarakat bintang dan planet. Setelah proses pembentukan ini selesai maka lubang hitam tidak lagi “mengganas” namun hanya melakukan aksi gravitinya sesuai untuk “menghidupkan” sesebuah galaksi. Jadi lubang hitam bukanlah “lawan” tetapi “kawan” dan merupakan pusat atau generator kuasa sesebuah galaksi. Namun ini tidak bermakna sudah tidak ada lagi bintang, planet atau debris yang disedut masuk ke lubang hitam.

APA YANG KEKAL MISTERI?

Merujuk kepada kedua teori di atas, bolehlah disimpulkan bahawa para saintis masih tidak berjaya menerangkan faktor sebenar lahirnya lubang hitam. Ia (lubang hitam) ibarat muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah gumpalan debu dan awan gas (suddenly, out of nowhere ). Samalah juga dengan teori Big Bang yang juga “suddenly, out of nowhere”. Bagi kita umat Islam perkara yang tidak dapat kita huraikan maka kita kembalikannya kepada Allah kerana Allah lebih mengetahui ilmu dan kuasaNya tiada batasan.

LAGI FAKTA MENAKJUBKAN

Suatu fakta yang agak mengejutkan ialah; hukum dan perkiraan fizik yang sering digunapakai oleh kita dalam mengkaji, mengukur dan menganggar segala apa yang dicapai akal (ilmu material) tidak dapat diguna pakai untuk mengkaji dan mengenali lubang hitam dan mengkaji apa yang ada di dalamnya. Seolah-olah apabila memasuki daerah lubang hitam, maka hukum fizik yang kita ketahui ini terbatal dengan sendirinya. Kerana apa? Untuk persoalan ini, anda akan memahami apabila menonton sorotan video dibawah. Sebagai klu (hint), ianya berkaitan dengan garis masa yang merupakan faktor penting dalam perkiraan ilmu fizik manusia.

TEMPAT JATUHNYA BINTANG-BINTANG DAN SUMPAH YANG BESAR

Walau teori manapun yang dirujuk (kedua di atas), lubang hitam tetap merupakan suatu raksasa yang menarik jirim, objek, partikel, bintang dan juga planet. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan lubang hitam (black hole) adalah tempat jatuhnya bintang-bintang.

(Ayat ke 75) Tempat jatuhnya bintang-bintang diberi penekanan oleh Allah dengan “sumpah” yang ditarafkan dengan “besar” yang dinyatakan pada ayat seterusnya iaitu ayat ke-76.

Jadi disini dapatlah kita kembangkan pemikiran kita apabila kita sampai pada ayat ke 76 surah hebat ini (Al-Waqiah). Iaitu dengan mengaitkan “sumpah besar” dengan “tempat jatuhnya bintang-bintang” (black hole) yang mana ianya mempunyai ciri-ciri hebat sebagaimana diterangkan di atas. Walaupun kajian terkini menunjukkan lubang hitam itu sebagai pusat galaksi, namun ciri-cirinya yang pasti ialah ianya (lubang hitam) bersifat menarik bintang-bintang, planet dan entiti lain di angkasa. Disebut “tempat jatuh” (dari atas ke bawah) kerana manusia berpaksi pada bumi (current location). Pada hakikatnya, apabila kita berada di angkasa maka yang manakah atas dan yang manakah bawah??

Kenapa sumpah ini ditekankan oleh Allah sebagai sumpah yang besar? Kerana untuk menzahirkan kepada pemikiran manusia akan kehebatan dan kekuatan “tempat jatuh bintang-bintang” (black hole) yang tidak mampu diukur oleh ilmu manusia, baik dari segi ukuran fizik mahupun perkiraan matematik (Allah lebih mengetahui). Maka sesuailah bagi Allah untuk mengklasifikasikan sumpah tersebut sebagi sumpah yang besar (jika manusia mengetahuinya), atau dengan kata lain Allah bersumpah (jika lubang hitam dirujuk pada teori kedua); “demi pusat-pusat galaksi yang hebat (yang tidak terukur oleh ilmu dan akal manusia)” - Allah lebih mengetahui.

Sekali lagi kita renungkan dalam-dalam ayat surah AL-Waaqiah:
فَلَا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ

Maka Aku (Allah) bersumpah dengan (demi) “tempat jatuh” bintang-bintang.
وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَّوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ

Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar jika kamu mengetahui.

KESIMPULAN

* Lubang hitam (black hole) telah disebut dalam Quran lebih dari 1400 tahun lalu, sedangkan sains moden hanya menemukannnya pada zaman mutakhir ini.
* Fakta yang disebut dalam Quran terbukti benar oleh penemuan sains moden.
* Mungkinkah pengkajian sains moden juga merujuk kepada al-Quran secara diam-diam?
* Dengan merenungkan fakta sebegini, mudah-mudahan membuka konsep baru dalam pengkajian kita, iaitu pengkajian berdasarkan al-Quran (sumber segala ilmu).

No comments: