Saturday, December 12, 2009

Jenayah ragut yang merenggut-ragut

Malaysia Harmoni

Kejadian-kejadian jenayah semakin menakutkan. Tidak perlu kita menyelak berita-berita pembunuhan, rompakan mahupun rasuah, cukup sekadar menyebut cerita jenayah ragut, yang statistiknya seperti tidak mahu menurun.

Apa yang lebih mendukacitakan, peragut tidak mengira siapa mangsanya. Sama ada mangsa seorang muda atau tua, membawa wang atau tidak, orang senang atau bukan, yang dilihatnya cuma peluang untuk mendapatkan sedikit habuan dunia. Lebih menakutkan, kes yang namanya ragut ini telah memakan banyak korban. Ya, kematian. Kematian mangsa yang tidak berdosa, dan ia bukan sekali dua berlaku. Yang terselamat bersyukur kerana tidak menjadi sebahagian daripada statistik, namun traumanya tidak mudah dilupakan sampai bila-bila.

Gerun dan geram kita apabila membayangkan semula kejadian-kejadian ragut ini satu-persatu.

8 Disember 2009, Cheras: Seorang penyelia hotel, Abdul Rahman Mohd Khadladin, 34, meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaiki bersama isterinya, Noriha Abd Rahman, 33, terbabas lalu merempuh tembok sebuah rumah selepas diragut. Noriha yang bertugas sebagai pengemas bilik di hotel yang sama turut cedera parah akibat tercampak ke dalam longkang. Noriha berkata, beliau tidak akan memaafkan dua peragut yang menyebabkannya kehilangan suami, dan turut menyebabkan anak tunggalnya, Zalifa Qistina menjadi anak yatim pada usia terlalu muda iaitu 15 bulan.

26 November 2009, Sungai Petani: Nadirah Saerah Mohd Zin, pelajar tingkatan dua SMK Sungai Layar, cedera parah akibat terjatuh dari motosikal selepas seorang peragut, yang juga menaiki motosikal, merampas telefon bimbitnya dan menendangnya di Pekan Semeling. Nadirah, yang ketika kejadian sedang membonceng kawannya, tidak sedarkan diri selama empat jam dan menerima lebih daripada 10 jahitan di muka, tangan dan perut.

25 November 2009, Alor Setar: Seorang warga emas, Fatimah Salleh, 66, meninggal dunia selepas terjatuh dari motosikal yang diboncengnya apabila beg tangannya diragut dekat Alor Senibong kira-kira pukul 10.30 malam. Peragut berjaya melepaskan diri dengan beg tangan tersebut yang hanya mengandungi sehelai pakaian dan MyKad mangsa.

Berita-berita tadi berlaku dalam sekitar dua minggu sahaja, dan melibatkan dua kematian! Lagi...

6 November 2009, Johor Bahru: Polis menahan seorang peragut yang turut cuba mencabul mangsa. Dalam kejadian pada petang Ahad 1 November, penjenayah dan rakannya menaiki sebuah motosikal dan menolak mangsa wanita yang juga menaiki motosikal dekat Lima Kedai, Gelang Patah sehingga terjatuh. Mereka kemudian merampas rantai emas mangsa, sebuah telefon bimbit dan wang berjumlah RM52. Mereka juga cuba membuka baju mangsa tetapi wanita tersebut berjaya menyelamatkan diri dan mendapatkan bantuan dari sebuah plaza tol berdekatan.

6 Mei 2009, Kota Bharu: Saripah Mohd Noor, 34, yang sedang mengandung empat bulan mengakhiri hayatnya dengan tragis apabila menjadi mangsa ragut. Beliau sedang menunggang sebuah motosikal melalui Kampung Padang Raja Melor, Ketereh apabila dua pemuda menghampirinya lalu meragut beg tangan yang disandangnya. Saripah terjatuh lalu dilanggar oleh sebuah kereta menyebabkan beliau mati di tempat kejadian.

3 Mei 2009, Ayer Hitam (Johor): Seorang ibu, Jamilah Selamat, 31, yang sedang mengandung terhumban ke laluan pejalan kaki selepas peragut merampas begnya. Beliau koma dan meninggal dunia dua hari kemudian.

Demikian sebahagian kecil berita ragut yang dipetik berlaku dalam tahun 2009. Tidak cukup? Cuba lihat kejadian pada hujung tahun lepas ini...

10 Disember 2008, Bukit Mertajam: Lim See Nya, 58, digilis sebuah lori tiga tan apabila beliau hilang kawalan dan terjatuh ke atas jalan raya selepas dua orang lelaki yang menaiki motosikal meragut beg tangannya. Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dari sebuah pasar raya menuju ke keretanya.

Tidak cukup lagi? Bersedialah untuk membeliakkan biji mata anda dengan berita ini pula...

13 Jun 2005, Kuching: Seorang pelajar sekolah, Dayang Nurafri Awang Sahari, 17, tergamam kerana tidak menyangka salah seorang peragut adalah abangnya sendiri. Mangsa dalam perjalanan pulang dari kedai berhampiran rumahnya di Kampung Semariang Batu apabila didekati oleh dua pemuda bermotosikal dari arah belakang. Mereka menghampirinya dan menarik rantai emas bernilai RM200 yang dipakainya. Bagaimanapun dia yang terkejut bertindak menarik baju pembonceng motosikal berkenaan sehingga terjatuh dan sempat bergelut dengannya buat seketika. Namun gadis itu tergamam sehingga tidak mampu untuk menjerit meminta pertolongan selepas mendapati lelaki berkenaan adalah abang kandungnya sendiri.

Dan banyak lagi kes ragut serupa yang jika hendak dimuatkan di sini akan menyebabkan tulisan ini panjang berjela-jela.

Punca-puncanya...

Raja segala punca adalah wang. Wang seolah-olah segala-galanya di dunia ini. Tetapi maharaja segala punca adalah pemikiran manusia yang terlalu memuja dunia,material, kesenangan, kemewahan... Tiada perkiraan dosa pahala, apa lagi kesengsaraan orang lain. Manusia tidak ingat atau mungkin tidak pernah diberi ingat bahawa selepas mati, semua perbuatan mereka akan diadili.

Di mana kita? Adakah kita ingin mencontohi England yang kadar jenayahnya dilaporkan dua kejadian dalam setiap minit? Kadar ini terburuk dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah malah lebih buruk daripada Amerika Syarikat. Mestikah kita mencontohi bekas penjajah kita ini setelah kita semacam rela akan perlembagaan negara gubalannya? Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes ragut di ibu negara mencatat peningkatan 99 peratus dalam tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Cadangan-cadangan...

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), melalui kalam Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan penjenayah ragut didakwa atas kesalahan merompak dan bukannya mencuri seperti dilakukan sekarang, supaya dikenakan hukuman lebih berat dan menimbulkan ketakutan kepada mereka.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melancarkan program Banteras Ragut dan Rogol (B2R) yang bertujuan melahirkan generasi muda, terutama gadis, yang 'celik jenayah' supaya kejadian jenayah dapat dielakkan.

Pandangan umum pula kelihatan menyokong sepenuhnya jika terdapat mangsa ragut yang berani mengejar semula peragut dan mengambil tindakan ke atasnya.

Kes 1, Kuala Lumpur, 4 November 2009: Seorang wanita yang menjadi mangsa ragut bertindak nekad mengejar kembali peragut yang menaiki motosikal. Dalam keadaan kelam-kabut, peragut masuk ke sebatang jalan mati dan terbabas ke arah pagar. Wanita itu turut terbabas dan melanggar peragut menyebabkan peragut tersebut mati serta-merta.

Kes 2, Kota Bharu, November 2009: Selepas bertarung nyawa kira-kira dua jam akibat dibelasah penduduk kampung kerana meragut, seorang suspek akhirnya menemui ajal ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Suspek yang ditemani seorang rakannya dipercayai dipukul penduduk kampung ketika cuba meragut rantai leher seorang kanak-kanak di Kampung Belimbing, Pendek, Kedai Mulong, dekat sini.

Kes 3, Shah Alam, 23 Julai 2009: Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka merempuh sebuah teksi dari belakang. Kejadian berlaku selepas mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat di sebelah sebuah kereta Mercedes-Benz yang dipandu seorang eksekutif wanita. Mereka memecahkan cermin tingkap sebelah kiri kereta berkenaan dan melarikan beg tangan wanita tersebut. Wanita itu mengejar dua beradik tersebut sehingga motosikal mereka melanggar sebuah teksi. Akibatnya, seorang daripada mereka terperosok ke bawah teksi dan mati semasa tiba di hospital. Adiknya pula terpelanting ke atas jalan, cuba melarikan diri dalam keadaan terhuyung-hayang dan berlumuran darah, tetapi rebah kembali dan mati di tempat kejadian.

Kes 4, Ipoh, Julai 2008: Cubaan seorang lelaki meragut seutas rantai emas milik seorang konduktor bas berakhir dengan tragedi apabila dia dibelasah hingga mati oleh orang awam.

Adakah insiden-insiden seperti ini yang ingin kita lihat di Malaysia yang digembar- gemburkan sebagai negara Islam contoh? Amankah penduduk negara ini? Semakin bebaskah mereka bersiar-siar di jalan raya atau di mana-mana, atau semakin diselubungi kebimbangan?

Penyelesaiannya...

Disebabkan kita teruja mengatakan Malaysia negara Islam, maka marilah kita mengisi dan mengadakan pembaikan ke atasnya.

Cukup-cukuplah dengan perlembagaannya yang berasal daripada manusia tetapi tidak memahami kejadian manusia secara terperinci. Murnikanlah ia dengan satu perlembagaan yang berasaskan panduan Tuhan Pencipta manusia itu sendiri.

Amalkanlah syariah. Laksanakan undang-undang hudud dan takzir menurut syariah.

Tingkatkan program pendidikan (tarbiah) yang benar dan berterusan untuk rakyat seluruhnya, baik yang Islam mahupun bukan Islam. Kita perlu kepada rakyat yang memahami dan menyokong usaha ini. Jika mereka sukar memahaminya pun, cukup sekadar mereka berasa aman dengannya dan tidak menentang syariah secara semborono.

Hukumlah peragut-peragut ini dan penjenayah-penjenayah lain mengikut hukuman syariah sebenar.

Percayalah, hanya dengan amalan syariah Islam secara menyeluruh, kehidupan di dunia ini akan aman damai. Pandanglah perkara ini dari sudut kesyukuran dan ketaatan kepada Allah, dan nikmat keberkatan yang dijanjikan-Nya.

"Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu ingkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih."

(Ibrahim 14: 7)

Mudah-mudahan jenayah ragut, biarpun sekadar sejemput, benar-benar merenggut kelekaan kita selama ini. Jadi, di mana pula kita selepas ini?

No comments: