Assalamualaikum,
Apakah
yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan Umayyah dan Abbasiyah? Untuk
mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan ini jatuh disebabkan oleh satu atau
dua faktor adalah terlalu simplistik. Sebenarnya banyak faktor yang
saling kait mengait yang membawa kepada kejatuhan dinasti-dinasti yang
pernah berkuasa di dunia samada Islam atau bukan Islam. Bani Umayyah
dan Abbasiyah turut melahirkan pahlawan-pahlawan Islam yang boleh
dibanggakan. Siapa yang tidak mengenali Khalifah Umar Bin Abdul Aziz
yang digolongkan bersama khulafa ar-Rasyidah yang empat kerana wara'
dan zuhudnya. Begitu juga Khalifah Harun ar-Rasyid dan Ma'moun yang
terkenal dengan kealiman dan kebijaksanaan serta keadilan mereka
sehingga meninggalkan legasi dalam sejarah
Islam. Tetapi kehairan-kehadiran pahlawan-pahlawan ini tidak cukup
untuk menahan arus keruntuhan dan 'decay6' yang sudah mula menggerogoti
umat Islam dari dalam.
Apa yang bolih kita pelajari dari
Kitab-ul-iktibar dan Muqaddimah Ibnu Khaldun ialah setiap tamaddun ada
fasa kebangkitan dan kejatuhannya. Kebangkitan dan keruntuhan itu boleh
disandarkan kepada beberapa faktor. Kebangkitan itu sendiri boleh
dilihat dari pelbagai sudut, apakah dari
sudut kerohanian atau kebendaan. Contohnya zaman Abbasiyah diberi
jolokan zaman keemasan (the golden period of Islam). Namun apakah kayu
ukur yang digunakan di dalam Islam untuk menilai sesuatu kejayaan.
Pastinya pencapaian kebendaan dan infrastruktur bukan nilaian sebenar
kemuliaan sesuatu kaum menurut kayu ukur Islam. Bahkan kebangkitan yang
berdiri di atas ukuran 'maddi' (kebendaan) di dalam Islam yang tidak
seiring dengan kemajuan kerohanian sebenarnya adalah petanda awal
kepada kejatuhan dan keruntuhan. Graf menaik itu hanya menjadi impetus
yang akan menyebabkan tamaddun itu lebih meluncur laju menuju
kebinasaannya.
Apakah yang membawa kepada kejatuhan bani
Abbasiyah. Apakah didorong oleh faktor kegersangan kerohanian atau
sifat assobiyah yang melulu atau perselisihan kekeluargaan? Ini
sebenarnya memerlukan penilitian analisis sejarah
yang mendalam. Yang pasti Khalifah Abbasiyah tidak mininggalkan
warisnya apabila ia berakhir di hujung pedang Monggol. Jadi jika
ditilik dari peristiwa tragis ini pastinya
zaman keemasan tidak selayaknya dipakaikan kepada Khilafah Abbasiyah.
Masakan Zaman Abbasiyah namanay apabila tidak mampu berdepan dengan
orang-orang gasar (barbarian) yang menghabiskan hidupnya di atas pelana
kuda sepanjang masa!. Orang-orang gasar ini langsung tidak meletakkan
sebarang nilai kepada jutaan helaian kertas yang dinukil seribu satu
hikmah dan ilmu oleh para ulama dan sarjana sehingga mereka longgok
untuk sekadar dibuat jambatan bagi menyeberangi Sungai Furat...
Mari kita buat perbandingan di antara zaman
permulaan Islam dengan zaman pencapaian Bani Abbasiyah. Rasullullah SAW
membina suatu komuniti yang terdiri dari kaum
keluarga dan sahabat rapatnya. Apabila datang seruan untuk menyampaikan
risalah secara terbuka maka Rasulullah SAW pun berdiri di bukit Safa
dan menyeru 'Wahai Fatimah, Wahai Banu Hasyim, Wahai Banu Abdul
Mutallib, Wahai banu sekian dan sekian.. kepada Islam. Setengah pihak
menjadikan ini sebagai sandaran bahawa di dalam Islam ada Assobiyah dan
Rasulullah mengambil kira faktor Assobiyah untuk menguatkan Islam. Ini
adalah hujah yang paling pelik yang kita pernah dengar. Rasulullah SAW
menyeru kepada kaum kelaurganya terlebih dahulu adalah suatu yang
dijangka. Adalah satu yang tabii bagi sesiapa jua untuk menyampaikan
berita gembira dan ancaman seksa kepada kaum keluarganya kerana
hubungan silaturrahim yang wujud di antara anggota keluarga. Natijahnya
kita melihat sebahagian besar dari keluarga Rasulullah SAW menolak risalah baginda, bahkan salah seorang dari
bapa saudaranya menjadi gembong (ketua) kepada gerakan anti Rasulullah
SAW. Kita lihat pula siapa yang menerima ajakan Rasulullah SAW. Di
antaranya ialah Bilal Ibnu Rabah orang Habsyah (satu kaum dengan
Abrahah). Salman al-Farisi orang Farsi yang menghabiskan usia remaja
nya mengembara mencari seorang insan yang bernama Ahmad. setelah
melalui pelbagai mehnah akhirnya beliau tercampak ke Yathrib dan orang
yang begitu teruja memanjat pokok kurma untuk menyambut seorang nabi
yang dijanjikan semasa peristiwa hijrah. Umar al-Khattab dari
Banu Adi beriman setelah memusuhi dan berniat untuk membunuh Nabi SAW.
Di antara mereka adalah hamba sahaya seperti Yassir, Summayah dan anak
mereka Ammar bin Yasser. Di antara merek adalah orang Rum (Byzantin)
yang bernama Suhaib ar-Rumi. Kita lihat pula siapa yang menentang Nabi
SAW. Di antara keluarga yang berada di barisan hadapan menentang
Rasulullah adalah Bani Umayyah. Mereka ini juga tergolong dalam Bani
Hashim. Abu Sufyan bin Harb, Hindun Bte Utbah, Al-Walid bin Utbah,
Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabi'ah. Semasa perang Badar tiga beranak
tampil mencabar tentera muslimin untuk bertarung seorang dengan
seorang. Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah dan al-Walid bin Utbah
mencabar supaya tampil 3 orang pemuda untuk bertarung secara 'deul'.
Tampil lah 3 orang pemuda ansar. Lalu mereka berkata 'kami mahu dari
kalangan keluarga kami'. Muncullah ahli keluarga Banu Hasyim iaitu
Hamzah bin Abdul Mutallib, Ali bin Abu Talib dan seorang lagi (nanti
disemak nama beliau). Pertarunagn ini berakhir dengan tewasnya
ketiga-tiga pemuda quraish dan seorang dari pahlawan Islam syahid.
Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Assobiyah
tidaklah menjadi keutamaan dalam Islam. Yang ada ialah silaturrahim.
Dan silaturrahim itu akan terlerai apabila iman dan kufur menjadi
batasannya.
Lalu dihujahpun pula kes Hatib bin Abi Balta'ah
yang membocorkan rahsia kepada orang-orang Quraish tentang perancangan
Rasulullah SAW untuk menuju Mekah dalam peristiwa Fathul Makkah.
Perbuatan ini diketahui oleh Rasulullah SAW dan Umar menawarkan untuk
memenggal Hatib bin abi Balta'ah. Lalu Nabi melarang Umar. Mereka
berhujah Nabi melarang Umar untuk membunuh Hatib kerana hubungan
Assobiyah yang wujud di antara Hatib dan keluarganya. Mereka menjadikan
ini sandaran untuk menyokong hujah dangkal mereka bahawa Assobiyah
adalah faktor penting dalam Islam. Ini hujah oarng tak habis mengaji.
Apa yang sebenarnya berlaku ialah Nabi melarang Umar meneruskan niatnya
untuk membunuh Hatib dengan mengingatkan Umar. Wahai Umar, Kamu lupakah
Hatib ini ahli Badr? Ahlul Badar diampunkan dosanya oleh Allah SWT.
Jadi perkiraan Nabi adalah berdasarkan kepada status Hatib sebagai
ahlul Badar bukan kerana hubungan Assobiyah di antara beliau dan
kelaurganya.
Dalam peperangan Badar, 70 orang Quraish tertawan
dan mereka ini semua mempunyai hubungan kekerabatan dengan umat Islam.
Syura di antara Rasulullah SAW dan para sahabat besar memutuskan bahawa
mereka bolih menebus diri mereka. Tetapi Umar berpandangan lain. Mereka
patut di bunuh. Ternyata pandangan Umar adalah lebih benar berdasarkan
kepada wahyu yang tuirun selepasnya. Rasulullah SAW dan Abu Bakar
menangis apabila turunnya ayat yang mengabsahkan pandangan Umar. Jika
mereka ini dilepaskan atas dasar Assobiyah mengapa Allah mengatakan
mereka sepatutnya dibunuh. Bahkan dua orang tawanan memang dihukum
bunuh. Salah seorang darinya adalah merupakan musuh besar kepada
Rasulullah SAW yang bernama An-Nadhir bin Al-Harith. An-Nadhir
mempunyai seorang adek di kalangan muslimin. apabila An-Nadhir merayu
kepada saudaramnya, saudaranya membalas balik 'saudaraku ialah mereka
yang kini menawan engkau'
Wahai adek-adek dan anak-anakku, hujah aku belum
habis lagi. Tapi setakat ini terserlahlah sudah betapa dangkal nya
hujah puak yang mendukong fahaman Assobiyah. wahai adek-adek dan
anak-anak ku jangan hanya mendengar. Mulai saat ini bacalah kitab-kitab
seerah (bukan 1 bukan 2 kitab seerah - bacalah berpuluh-puluh kitab
seerah agar engaku tidak terpengaruh dengan hujah hujah muluk golongan
yang keliru. Jangan biarkan dirimu menjadi tawanan mereka. aku tidak
menyuruh kalian meninggalkan jamaah kalian. Aku hanya mengingatkan
kalian, kalian punya tanggungjawab untuk membetulkan kepimpinan kalian!
Bersambung insyaAllah
Dr Hafidzi Mohd Noor
No comments:
Post a Comment