KUALA LUMPUR, 5 Januari - Kebanyakan sekolah di Malaysia memulakan sesi
pesekolahan tahun 2010 semalam. Di mana-mana pun, suasana kemasukan
pelajar baharu Tahun 1 sering menarik perhatian ramai.
Tinjauan Malaysia Harmoni di Sekolah Rendah Islam Al-Amin
Gombak(SRIAAG) di Sungai Pusu dekat sini semalam bagaimanapun mendapati
senario yang berbeza. Jika di sekolah-sekolah lain, drama tangisan
pelajar Tahun 1 ini agak lumrah, sejumlah 110 orang pelajar yang datang
melaporkan diri ke sekolah ini kelihatan tenang dan bersedia.
Bagi
pasangan Muhamad Hizal Mustafa dan Elya Juliana Hakimi, biarpun ini
kali pertama menghantar anak ke SRIAAG, mereka tidak menghadapi
sebarang masalah.
“Alhamdulillah, tindakan
memindahkan anak kami ke sebuah sebuah tadika Islam dari tadika lain
tahun lalu membawa perubahan yang ketara. Anak kami menunjukkan
peningkatan mendadak terutama dari segi bacaan doa dan hafazan termasuk
ayat Kursi, ayat seribu dinar, surah-surah lazim dan sebagainya,” kata
Muhamad Hizal, merujuk kepada Pasti Asy-Syakirin yang terletak
berhampiran rumahnya di Bangi, Selangor.
Anak
pasangan ini, Muhamad Darwisy Amzar, terpilih untuk memasuki tahun satu
SRIAAG setelah berjaya melepasi ujian tapisan yang ketat. Daripada 160
permohonan, pihak sekolah terpaksa menolak 50 orang bagi menjamin
suasana pembelajaran yang selesa buat pelajar-pelajarnya.
Muhamad Hizal, 33, yang bekerja sendiri dan mempunyai pejabat di Taman
Prima Saujana, Kajang yakin pemilihan SRIAAG adalah yang terbaik
biarpun terpaksa keluar rumah awal unuk menghantar
anaknya.Bagaimanapun, kedudukan isterinya yang bekerja di CIDB
Malaysia, Jalan Pahang di sini memudahkan sedikit pergerakan mereka.
“Selepas menghantar dua orang anak kecil kami ke nurseri berdekatan
rumah, suami akan menghantar saya dan Darwisy ke destinasi
masing-masing. Begitu pula keadaannya pada sebelah petang untuk pulang
ke rumah,” ujar Elya.
Muhamad Hizal menganggap
rutin ini sebagai pengorbanan yang perlu dihadapi oleh ibu bapa yang
mahu melihat anaknya berjaya menguasai ilmu dunia dan akhirat. Beliau
yang mengenali Al-Amin melalui kawan-kawan dan bacaan di majalah berasa
yakin dengan sistem pendidikan bersepadu yang ditawarkan, lebih-lebih
lagi suasana pembelajaran dan amalinya menekankan aspek pembentukan
insan bertakwa. Beliau turut melahirkan harapan untuk melihat anaknya
menjadi seorang hafiz al-Quran.
Harapan
yang sama turut dikongsi oleh dua sahabat lama, Saidi Che Hassan, 44,
dan Hj Yusdi Yusof, 44. Mereka yang berasal dari Kelantan pernah
belajar bersama-sama di Kolej Pengajian Persediaan (Matrikulasi)
Australia di UiTM, Shah Alam dan kini sama-sama pula menghantar
anak-anak ke SRIAAG.
Selain mendaftarkan anak
ke Tahun 1, Saidi mempunyai dua orang anak lagi di Al- Amin iaitu di
Tahun 3 dan 5. Yusdi pula mempunyai empat orang anak yang belajar di
sekolah sama termasuk yang baru dimasukkan ke Tahun 1 semalam, dan
seorang di Tingkatan 1 yang meneruskan pengajian di Sekolah Menengah
Islam Al-Amin, Gombak (SMIAAG). Bangunan SMIAAG terletak di dalam
kawasan yang sama iaitu di belakang bangunan SRIAAG.
Ditanya apa yang menarik tentang sekolah swasta ini sehingga menghantar
empat orang anaknya belajar di Al-Amin, Yusdi yang bertugas di Ibu
Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya menjawab, “Yang penting bagi
saya sebagai bapa ialah memastikan anak-anak mendapat ilmu yang
secukupnya. Ilmu itu pula perlu merangkumi dunia dan akhirat. Di sini
kedua-dua perkara tersebut ada dan wujud pula suasana yang cukup baik
dalam membentuk anak-anak menjadi insan soleh yang terpuji akhlaknya.”
Menggambarkan suara pelajar-pelajar SRIAAG, Hannan Mohd Apandi (gambar), 12, yang baru dilantik sebagai Penolong Ketua Pelajar mengajukan pandangannya:
“Sepanjang lima tahun saya di sini, suasananya memang cukup
menyeronokkan. Kawan-kawan semuanya baik-baik, guru-guru juga
kebanyakannya profesional walaupun ada seorang dua yang garang.”
Hannan yang mengagumi ketokohan khalifah Islam kedua, Umar al-Khattab
berkata, ketika mula-mula melaporkan diri dahulu, beliau tidak berasa
sedih langsung, lebih-lebih lagi disebabkan pada waktu itu seorang
kakaknya memang pelajar di sekolah ini.
Anak
seorang juruukur tanah ini juga cemerlang dalam pencapaian akademiknya
selain aktif dalam aktiviti ko-kurikulum (media dan drama) dan sukan
(lari berhalangan).
Sementara itu, Guru Besar SRIAAG, Ustaz Zubir Osman, (gambar)
ketika ditemui berkata, perbezaan paling ketara antara Sekolah Al-Amin
dengan sekolah lain ialah falsafah pendidikan dan penghayatan Islamnya
yang didukung oleh semua pihak.
“Komitmen
daripada semua pihak dari peringkat bawah sampai atas melahirkan
kekuatan Al-Amin iaitu persekitaran pembelajaran yang Islamik dari segi
teori dan praktikalnya. Walaupun kegiatan ko-kurikulum di sini tidak
banyak berbeza dengan sekolah-sekolah lain, kelainan kita ialah kita
menekankan perkara-perkara berkaitan dengan pergaulan, amalan solat dan
fikrah Islam,” tambahnya lagi.
Ustaz Zubir,
39, yang menerajui SRIAAG sejak 2006 seterusnya menjelaskan, meskipun
ada ibu bapa yang mengatakan yuran di sekolah swasta ini mahal,
pengalamannya tidak menunjukkan masalah yuran menjadi bebanan utama ibu
bapa. “Malah jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah swasta lain,
yuran di Al-Amin agak rendah. Lagipun sekolah ini memang disasarkan
untuk golongan sederhana. Yuran yang dikenakan adalah dalam kemampuan
golongan ini, dan mereka pula mendapat pulangan yang berbaloi dari segi
pendidikan anak-anak,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ustaz Zubir mengakui, jumlah yuran yang dikutip cukup untuk menampung kos operasi sahaja.
“Untuk tujuan pembangunan, kita masih memerlukan sumbangan daripada
pihak luar seperti pusat zakat dan para dermawan. Alhamdulillah,
baru-baru ini, kerajan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap
Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang
dipengerusikan oleh Dr Halimah Ali memulakan langkah positif dengan
memberi bantuan kepada 144 buah sekolah swasta di negeri ini termasuk
Al-Amin. Dan kerajaan negeri menjanjikan bahawa ini adalah bantuan yang
berterusan,” katanya.
Sekolah rendah dan
menengah Islam Al-Amin merupakan sebahagian daripada 32 buah sekolah
serupa di seluruh Malaysia yang bernaung di bawah Pusat Pendidikan
SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Islam
Malaysia.
Ustaz Zubir berharap masyarakat akan
terus menyokong dan yakin bahawa sistem pendidikan bersepadu
sebagaimana yang ditawarkan oleh rangkaian sekolah Al-Amin ini mampu
memberi kejayaan akademik yang cemerlang di samping aspek agamanya
seimbang.
“Masyarakat tak perlu risau
kemampuan sistem pendidikan bersepadu ini. Hari ini ia bukan lagi satu
alternatif, bahkan menjadi keperluan,” kata beliau menyimpul bicara.
Negeri
Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu
sebagai cuti hujung minggu memulakan sesi persekolahan sehari lebih
awal (Ahad) manakala negeri-negeri lain memulakannya semalam (Isnin).
No comments:
Post a Comment