|
|
|
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
|
|
Thursday, 10 December 2009 |
|
Alhamdulillah,
kita kini masuk siri ketiga dalam mengupas adab ziarah antara tetamu
dan tuan rumah. Dalam siri yang lepas, telah diterangkan cara-cara
meminta izin daripada tuan rumah untuk menziarahinya. Dalam siri ini
akan diterangkan pula adab-adab dalam rumah setelah diizinkan masuk.
Apabila
masuk ke rumah, jangan duduk sehingga dipelawa oleh tuan rumah dan
ditunjukkan tempat duduk. Ini supaya kita tidak terduduk di tempat khas
milik tuan rumah, berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.: “Janganlah
seorang lelaki menjadi imam bagi lelaki lain di daerah kekuasaannya dan
jangan duduk di tempat duduk yang dimuliakannya melainkan dengan
izinnya.” [Shahih Muslim,
no: 673] Jika terdapat beberapa tetamu lain, hendaklah tuan rumah
menyuruh mereka melapang-lapangkan tempat duduk untuk menempatkan
tetamu yang baru datang. Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk
kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah
melapangkan (segala halnya) untuk kamu.” [Surah al-Majadilah, ayat 11]
Bagi tetamu yang baru datang, hendaklah dia duduk di tempat yang kosong
yang ditemuinya sekalipun ia agak jauh dari tuan rumah. Janganlah
menyelit-nyelit ke hadapan di antara tetamu untuk menghampiri tuan
rumah atau menyelit duduk di antara dua tetamu yang sudah sedia duduk
melainkan dengan meminta izin mereka berdua. Rasulullah s.a.w.
menegaskan: “Tidak halal bagi seseorang memisahkan dua orang (yang
sedang duduk) kecuali dengan izin kedua-duanya.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4845]
Jika tidak mendapat izin atau memang tiada tempat duduk, maka jangan
menyuruh orang yang sedang duduk untuk berdiri, sebaliknya duduklah di
belakang atau di mana jua yang ditemuinya: “Janganlah seseorang
menyuruh orang lain berdiri dari tempat duduknya lalu dia duduk di
tempat itu.” [Shahih al-Bukhari,
no: 6269] Demikian juga, apabila tetamu yang sedia memiliki tempat
duduk bangun sebentar untuk sesuatu urusan sementara, janganlah diambil
tempat duduknya: “Apabila salah seorang kalian bangkit dari tempat
duduknya kemudian kembali ke tempatnya, maka dia lebih berhak ke atas
tempat tersebut.” [Shahih Muslim, no: 2179]
Di mana jua tetamu itu duduk, amatlah penting untuk menjaga perbualan
agar ia sentiasa berorientasi kepada kebaikan. Jauhilah perkataan yang
buruk umpama mencerita keburukan orang, membuka rahsia, berburuk
sangka, bergosip dan sebagainya kerana ia adalah perkataan yang dihasut
oleh syaitan. Allah s.w.t. berfirman: “Dan katakanlah kepada
hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik;
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (untuk
berkata-kata yang buruk); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang
amat nyata bagi manusia.” [Surah al-Isra’, ayat 53]
Perkataan yang baik ialah “zikir”, iaitu apa sahaja subjek perbualan
yang dapat mengingat serta menghubungkan seseorang kepada Allah. Juga
selawat, yakni dengan membacakan hadis-hadis yang sahih. Ini kerana
dalam menyampaikan hadis, semua orang akan berselawat setiap kali nama
Rasulullah disebut. Kepentingan zikir dan selawat disebut dalam hadis
berikut:
“Tidaklah satu kaum itu duduk dalam satu majlis Yang tidak diisi dengan
zikir kepada Allah dan selawat ke atas Nabi mereka kecuali akan menjadi
penyesalan ke atas diri mereka. Jika Allah berkehendak, Allah akan
menyeksa mereka dan jika tidak Allah akan mengampunkan mereka.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3380]
Adab Pulang.
Apabila berziarah, janganlah meluangkan masa yang lama di rumah kerana
ia akan memberatkan tuan rumah dan ahli keluarganya yang lain. Justeru
Islam mengajar kita adab untuk segera pulang setelah dijamu oleh
tetamu. Allah s.w.t. berfirman: “Apabila kamu dijemput maka masuklah,
kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan
janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang
demikian itu menyakiti dan menyusahkan…” [Surah al-Ahzab, ayat 53]
Sebelum pulang, hendaklah meminta izin dari tuan rumah sebagai
pemberitahu hajat kita untuk pulang. Jangan terus menghilangkan diri.
Rasulullah s.a.w. mengajar adab yang mulia ini: “Apabila salah seorang
kamu mengunjungi saudara seagamanya dan duduk di sisinya, maka
janganlah dia pulang melainkan dengan meminta izin terlebih dahulu.” [Silsilah
al-Shahihah, no: 182]
Jika tuan rumah ingin tetamu meluangkan lebih masa di rumahnya, dia
akan menahan tetamu dari pulang. Jika sebaliknya, dia akan mengizinkan
tetamu bangun untuk pulang.
Seterusnya hajat untuk pulang diikuti dengan ucapan salam: “Apabila
salah seorang kalian mendatangi satu majlis, maka hendaklah dia
mengucapkan salam (Assalamu’alaikum) dan apabila dia hendak bangun
(pulang dari majlis) hendaklah dia mengucapkan salam. Tidaklah salam
yang pertama lebih utama dari salam yang kedua (melainkan ia sama-sama
penting).” [Shahih Sunan
Abu Daud,
no: 5208] Disamping mengucapkan salam, terdapat juga riwayat yang
menganjurkan berjabat tangan: “Berjabat tangan merupakan penyempurna
ucapan salam yang kamu berikan.” [Silsilah al-Dha’ifah, no: 1288].
Ia kemudian diikuti dengan doa yang masyhur disebut sebagai Tasbih Kifarah.
Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Sesiapa yang duduk di sebuah majlis di
mana berlaku banyak kesalahan, lalu dia membaca sebelum bangun
(beredar): ‘Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memuji Engkau. Aku
bersaksi tidak ada tuhan melainkan Engkau. Aku memohon keampunan Engkau
dan kepada Engkau aku bertaubat’, nescaya Allah mengampunkan baginya
apa yang berlaku dalam majlis tersebut.” [Shahih Sunan
al-Tirmizi,
no: 3433] Doa ini dibaca oleh setiap orang secara bersendirian, bukan
beramai-ramai seperti yang diamalkan oleh segelintir masyarakat.
|
No comments:
Post a Comment