Wednesday, November 11, 2009

Terlepas kereta api di Putrajaya.

Oleh Zin Mahmud

PUTRAJAYA indah, layak menjadi bandar pentadbiran sebuah negara maju. Tetapi mengapa kereta begitu sesak di tempat-tempat letak kereta. Ini bukan gambaran sebuah bandar negara maju. Ia hanya menggambarkan perancangan dan pelaksanaan yang tidak betul.

Kota ini tidak dibina untuk kereta. Sebagai sebuah bandar pasca-moden, Putrajaya direka bentuk sebagai kota yang menggunakan pengangkutan awam canggih, iaitu monorel. Kalau setakat pengangkutan awam berupa bas, tidaklah canggih, dan tidak selayaknya untuk disebut sebagai kota pasca-moden. Masa depan pengangkutan awam ialah kereta api.

Bayangkan monorel bergerak di sekitar Putrajaya. Tidakkah itu suatu yang indah dan kelihatan maju. Tetapi projek ini terbengkalai dengan jejambat untuk menempatkan relnya terjuntai di stesen LRT kereta api antara Kuala Lumpur dan KLIA.

Kalaulah dulu projek ini diteruskan, sudah pasti Putrajaya tidaklah mengalami masalah tempat letak kereta sedemikian rupa. Tetapi jika sekarang hendak dibina, bayangkan berapa mahal kosnya berbanding dahulu.

Percayalah masa depan pengangkutan manusia di seluruh dunia adalah kereta api. Atas kesedaran ini jugalah projek keretapi laju ringan ditambah bagi Lembah Klang. Ia suatu perkara yang baik walaupun lambat. Sementara LRT yang ada termasuk komuter KTM amat tidak selesa semasa waktu puncak. Gerabak tidak mencukupi dan orang begitu ramai dengan sistem tidak cukup berkembang dengan pesat. Akibatnya orang terpaksa menggunakan kereta persendirian juga. Maka akibatnya kesesakan lalu lintas. Ini bukan gambaran sebuah negara maju. Produktiviti terjejas dan orang ramai menyumpah.

Kalaulah 30 tahun lalu, sekitar tahun 1979, perhatian utama diberikan kepada membangun sistem LRT dan keretapi di negara ini, berbanding dengan lebuh raya dan industri kereta, maka keadaan mungkin berbeza. Pada masa itu, harga LRT masih jauh lebih murah. Ataupun membangun sistem LRT dan keretapi pada waktu yang sama ketika Singapura melakukannya dengan Pengangkutan Laju Massa (MRT) mereka, tentu keadaan sekarang berbeza.

Mana-mana tempat pun tidak akan dapat menampung kereta yang banyak untuk bergerak. Lebih-lebih lagi kalau pulau. Lihatlah perbezaan antara Singapura dan Pulau Pinang. Apabila dikawal, ia lancar seperti Singapura. Tetapi jika kemasukan kereta tidak dikawal, maka ia sesak seperti di Pulau Pinang. kereta tidak lagi menjadi alat pengangkutan. Tetapi alat yang melumpuhkan perjalanan.

Begitu juga dengan jalan raya, lebuh raya dan jambatan. Jika tidak direka bentuk dengan bijak, maka ia menjadi alat yang menyekat pergerakan perjalanan.

Lebuh raya

Jalan raya, lebuh raya dan jambatan di seluruh dunia, pada umumnya dibina untuk berkhidmat kepada kereta. Penciptaan kereta mengubah kehidupan manusia. Cuba bayangkan dunia sebelum kereta diciptakan.

Bandar-bandar tidak menjadi besar kerana kesukaran orang untuk berhijrah ke kota besar, apatah lagi berulang alik ke sana. Apa yang berlaku ialah kemunculan bandar-bandar kecil di merata tempat di mana segala keperluan dapat diperolehi dengan berjalan kaki saja.

Lihatlah kota London. Parlimen, istana, mahkamah, gereja, pasar dan bangunan-bangunan dibina berhampiran di antara satu sama lain supaya seseorang boleh pergi ke tempat-tempat itu untuk berurusan dengan berjalan kaki saja.

Tetapi adanya kereta mengubah semua itu. Bangunan-bangunan tidak perlu dibina secara berhampiran. Ini kerana walaupun berjarak, seseorang dapat ke tempat itu dengan menggunakan kereta. Lihatlah Kuala Lumpur. Parlimen, Masjid Negara, Mahkamah dan bangunan penting dibina bukan untuk pejalan kaki.

Sedangkan penggunaan kereta untuk bergerak memerlukan kos tinggi. Penyenggaraan dan minyak adalah kos. Tetapi kos paling tinggi ialah pengeluaran karbon yang mengakibatkan perubahan iklim, membabitkan pemanasan sejagat.

Kereta dapat berkembang kerana adanya minyak yang banyak dan murah. Kereta dan minyak berkait rapat dan ia mengubah geopolitik dunia. Amerika Syarikat menjadi kuasa dunia yang berasaskan minyak.

Dunia mungkin berbeza jika minyak sedikit dan mahal. Kereta tidak akan berkembang dan sebaliknya, keretapi yang mengambil alih tempat sebagai pengangkutan utama. Keseluruhan perkembangan masyarakat di dunia akan berbeza jika keretapi dan bukannya kereta yang berkembang. Malah Amerika juga tidak akan muncul sebagai kuasa dunia.

Politik Asia Barat dan kedudukan Israel juga tidak akan menjadi apa yang berlaku seperti hari ini tanpa kereta dan minyak.

Tetapi kenyataannya kini, kereta, minyak, karbon, perubahan iklim dan pemanasan sejagat sudah menjadi cabaran besar bagi manusia. Satu hari minyak akan habis. kereta akan menggunakan bahan api tumbuhan. manusia akan berebut dengan kereta untuk mendapatkan minyak soya, jagung, sawit dan seumpamanya.

Hutan-hutan di seluruh dunia akan dikorbankan untuk menghasilkan bahan api tumbuhan. Ancaman terbesar berlaku di Asia Tenggara, khususnya di pulau Borneo, membabitkan Sarawak, Sabah dan Kalimantan.

Hutan hujan tropika yang menjadi paru-paru bumi pasti terancam. Politik alam sekitar atau ekopolitik bercampur dengan geopolitik akan menjadi ledakan baru pertembungan di dunia.

Ketika itu, pemanasan sejagat lebih hangat. Kekurangan makanan dan air minuman bertambah kritikal. Manusia mempunyai otak dan akan berusaha mengatasinya. Tetapi untuk sampai ke situ, akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang berlainan nilai berhubung dengan alam sekitar.

Pemanasan sejagat tidak akan dapat disekat. Alam akan bergolak mengikut sunnah yang sudah ditetapkan Ilahi. Tidakkah manusia sudah diajak supaya berfikir mengenai alam?

No comments: