Thursday, September 3, 2009

Sujud Kemerdekaan


Setiap dari kita terlalu inginkan kemerdekaan. Sekiranya diberi pilihan antara hidup mewah dan kemerdekaan maka manusia dengan jiwanya yang sihat akan memilih kemerdekaan. Kerana kemerdekaan itu terlalu berharga jika dibandingkan dengan kemewahan. Kemerdekaan menjadikan kita hidup bebas tanpa kongkongan. Kemerdekaan membenarkan kita memiliki diri kita sendiri, membina impian kita sendiri dan mengatur langkah untuk mencapai apa yang kita impikan. Kemerdekaan menjadikan bumi ini luas untuk diterokai dan menjadikan jiwa kita hidup, bergerak dan berkembang tanpa batasan.

Rasulullah SAW diutuskan kepada kita untuk membebaskan perhambaan kita kepada selain Allah SWT. Itulah hakikat kemerdekaan yang sebenarnya. Ibnu Taimiyah dalam kitabnya ’Al ’Ubudiyyah’ menjelaskan bahawa perhambaan kepada Allah SWT adalah kemerdekaan yang sebenarnya, sekiranya manusia itu tidak menghambakan dirinya pada Allah SWT maka ia akan memperhambakan diri kepada banyak perkara selain Allah SWT. Manusia mungkin menjadi hamba pada nafsunya sendiri, hamba pada kebendaan, kehendak masyarakat dan sebagainya.

Syed Qutb menegaskan bahawa sujud muslim yang sejati kepada Allah itulah lambang ketinggian dan kemuliaan, syiar kemerdekaan dan enggan menuruti segala taghut. Semua ini dijelaskan melalui nukilan indahnya:

Sujud itu menundukkan dahi,
Tetapi memuliakan muslim yang bertakbir kepada Allah dan bertasbih padaNya
Si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba
tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu

Di dalam kemuliaan sujud
semua akan tunduk kepada muslim yang sujud
Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya

Wajah dan seluruh anggotanya diletakkan di bumi
Tetapi dia menggoncangkan gunung-ganang
Meruntuhkan syirik, was-was di dalam diri si jahil
tetapi membangunkan segala generasi dalam ketenangan
kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi
lantaran kehebatan dan kebesaranNya

Sujud kepada Allah dan mengesakanNya, lalu mantap dan kuat
Terhapuslah setiap penzalim yang sombong

Barangsiapa menghayati sujud ini,
dia menikmati kepimpinan dan ketuanan
di muka bumi, dengan keagungannya, rahmat dan keindahannya


Inilah hakikat kemerdekaan yang sebenarnya dan hakikat inilah yang terlalu sukar dicapai melainkan kita balik kepada keimanan dan ketundukan kepada Allah SWT. Kita akan merdeka sekiranya kita menjadikan Alllah SWT sebagai Ilah dan Robb kita dan membebaskan diri kita daripada ketuhanan yang lain. Kita membebaskan diri kita dari perhambaan kepada nafsu kita atau nafsu orang lain. Kita hanya tunduk pada sistem Allah dan mengengkari sistem-sistem lain. Bahkan kita meletakkan perjuang untuk menegakkan sistem Allah SWT ini sebagai perjuangan kemerdekaan untuk seluruh manusia.

Inilah inspirasi keteguhan azam seorang muslim untuk terus bersama memikul risalah Islam. Mereka terus menghadapi kesusahan hanya semata untuk memastikan ketetapan Allah ini terus berlaku dan terserlah. Moga dengannya dia termasuk di kalangan orang yang berjaya.

Tetapi, sesiapa yang berpaling dari jalan yang mulia ini, sunnatullah akan terus berjalan tanpa henti, tidak menghiraukannya. Allah akan memberi hidayah kepada kaum yang lain pula untuk menyerlahkan kekuasaan dan merealisasikan sunnahNya ini.

Ustaz Hassan al-Hudhaibi telah merumuskan maksud di atas dengan ucapannya:
Semua peristiwa mesti tunduk kepada kitab Allah dan sunnah rasulNya meskipun manusia melihat dunia tidak tunduk kepada peraturan tersebut. Agama inilah sebenarnya aturan yang ditetapkan oleh Allah kepada manusia sebagaimana Dia menetapkan hukum alam kepada matahari, bulan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan kepada segala apa yang ada di langit, bumi dan apa jua yang ada padanya.”

Beliau berkata:
Jika matahari mempunyai paksi dan graviti, bumi mempunyai paksi dan beredar di atas orbitnya, maka demikian jugalah manusia mempunyai agama ini. Apabila agama ini hilang dari manusia, akan pincanglah keseimbangan.

Sesiapa yang berfikir dengan mendalam pasti dapat melihat lebih jauh dari itu. Dilihatnya alam ini mempunyai rekabentuk dan binaan yang indah dan agama ini adalah sebahagian darinya. Oleh itu, agama ini perlu dihayati oleh sekelompok manusia dalam mana-mana waktu.”

Abdul Wahab Azam juga memahami sunnah ini. Sunnah ini menjadikan orang-orang yang yakin dengannya tidak tergugat oleh serangan kebatilan, gugurnya para syuhada atau ramainya pejuang yang berundur setelah tiba di separuh jalan. Beliau pun berkata:

Sunnatullah terhadap semua makhluk terus berjalan.
Sesaat pun tidak berhenti dan berubah.
Mereka yang merdeka terus berjihad pada jalan Allah
kerana jihad pada kebenaran tidak pernah hilang walau sehari

Syiar dan simbol kehambaan mereka ialah sujud kepada Allah. Sujud yang meninggikan hati. Manakala syiar dan simbol golongan jahiliyyah ialah tunduk kepada kehendak kebendaan dan seks yang mematikan hati.

Itulah yang dinamakan sujud kemerdekaan. Melalui sujud ini, seorang muslim itu dapat menghancurkan belenggu nafsunya lalu dia menjadi manusia merdeka.

Dia merdeka. Hanya menerima segala tasawwur, sistem, cara hidup, syariat, undang-undang, nilai dan neraca pertimbangan dari Allah sahaja. Jadilah dia sama dengan manusia lain, berdiri pada taraf yang sama. Mengadap tuan yang satu dan tidak menjadikan sebahagian daripada mereka sebagai Tuhan, selain dari Allah.” (Syed Qutb)

Manusia akan sentiasa menderita, kelam kabut, bimbang dan sakit selagi mereka tidak sujud seperti sujud ini dan dan berpegang dengan akidah Islam ini. Penderitaan jiwa dan kezaliman yang berterusan walaupun maju dalam kebendaan benar-benar membuktikan bahawa akal semata-mata tidak akan mampu menjadi pemandu kestabilan jika tidak dipandu oleh aqidah yang benar. Akal sentiasa dipengaruhi oleh nafsu sebagaimana kita selalu sebutkan. Ia hilang upaya untuk menghadapi pelbagai tekanan selagi kawalan dan pertimbangan aqidah tiada di sampingnya.

Manusia tidak akan memperolehi kebahagiaan yang dijanjikan oleh kemerdekaan selagi jiwa mereka tidak tunduk sepenuhnya pada Pencipta mereka. Tiada kebahagiaan bagi manusia dan tiada jalan selamat dari tergelunsur jatuh oleh arus deras jahiliyyah melainkan mereka kembali semula kepada aqidah Islam yang akan memandunya ke jalan yang benar. Aqidah Islam akan memberikan jawapan yang betul terhadap semua permasalahan yang menyusahkan manusia zaman ini. Akidah Islam ini membuka pekung pemikiran jahiliyyah yang telah lama menyekat antara manusia dengan fitrah mereka.

Pada hari itu sahajalah, manusia akan kembali menikmati erti kebahagiaan.

Dr. YusufAl-Qaradhaawi telah berkata:

Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup...
Untuk pemikiran yang benar dan kukuh
Untuk akidah terbesar yang menyelesaikan;
Permasalahan alam yang lampau
Persoalan yang di soal oleh orang yang tertanya-tanya
Semasa mereka sedar dan cerdik boleh berfikir
Dari manakah aku datang?Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan? Adakah aku hidup kembali?

Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
Terusir segala keraguan yang degil
Terdidiklah fikiran yang waras
Terciptalah akhlak yang mulia
Dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng kepada jalan yang benar dan lurus

Hidupmu akan dikurniakan nilai
Oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
Supaya matamu memandang di segala ufuk
Ke arah cita-cita yang tinggi
Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
Di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana’
Kau tudung bumimu dengan langit
dan para malaikat menjadi saksi
Itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
Itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
dengan namanya; dialah orang yang berbahagia"


Dipetik dari haluan.org

No comments: