Tuesday, September 15, 2009

Isu facebook jadi perdebatan - Selepas ulama haramkannya di Indonesia

JAKARTA - Indonesia yang majoritinya penduduk beragama Islam dipercayai mempunyai jumlah masjid yang melebihi jumlah pusat kafe siber.

Sehubungan itu, ulama Islam mereka turut turun padang bagi menangani masalah laman komuniti Facebook yang semakin bertambah.

Media melaporkan penduduk Islam di Indonesia dikejutkan selepas mesyuarat Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang diadakan di Jawa dan Bali baru-baru ini mengeluarkan fatwa berhubung laman Facebook.

Ia mengeluarkan fatwa bagi mengharamkan laman itu.

Ulama-ulama berhujah bahawa laman itu membolehkan perhubungan antara berlainan jantina dilakukan dengan mereka bebas berbual, membuka pintu ke arah kelakuan tidak senonoh, gambar lucah, perzinaan dan seks sebelum berkahwin.

"Facebook seperti magnet yang menarik orang ramai bagi menyertai laman web komuniti itu," kata salah seorang ulama yang menyertai mesyuarat tersebut, Abdul Muid Sohib.

"Kebanyakan mereka menggunakannya untuk berbual namun Islam melarang hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan sahaja menerusi pertemuan bersemuka tetapi termasuk di Facebook kerana ia boleh mendorong perlakuan seks.

"Kami semua tahu bahawa sesetengah pengguna Facebook kebiasaannya menjadikan laman web itu sebagai tempat mereka untuk menawarkan pelacuran," katanya.

Puluhan ribu penduduk Indonesia mengkritik pandangan ulama itu.

Seorang pelajar yang beragama Islam, Niken Valentina menyatakan penggunaan laman itu bergantung kepada niat seseorang.

"Ia semua bergantung kepada sikap seseorang yang menggunakannya," kata Niken yang berumur 19 tahun.

"Jika anda mahu mencari bahan-bahan lucah dan bermain cinta, anda boleh menggunakan enjin carian Google, bukan sahaja Facebook," katanya.

Seorang pengguna Facebook, Intan Ruwaidah berkata, pandangan ulama itu menunjukkan kebanyakan golongan agama tidak mengikuti perkembangan zaman.

"Jika ulama itu menganggap Facebook merupakan tempat untuk bermain cinta, ia menunjukkan mereka tidak mempunyai idea apakah yang mereka perlu haramkan," katanya. - AFP

No comments: