Thursday, September 17, 2009

Cara Tentukan 1 Syawal


CARA MENENTUKAN AWAL SYAWAL 1430 H /2009

Nota : Artikel ini ditulis sebagai suatu kajian Ilmiah, tanpa maksud mendahului Keputusan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam menentukan awal Syawal 1430 H/2009. Artikel ini dirangkum dari berbagai sumber, seperti : Lajnah Falakiyah Nahdlatul Ulama (N.U.) Indonesia, Tulisan para Astronom Institut Tehnologi Bandung (ITB) Indonesia, Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Unit Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga pengetahuan Penulis yang diperoleh dari Fakulti Syari’ah dan Pondok Pesantren Tradisional.

Mukaddimah.

Menurut perspektif Islam, asas penentuan awal Ramadhan dan Syawal disandarkan kepada Al-Quran dan Sunnah (Hadis) yang menerangkan mengenai pergerakan cakerawala seperti matahari, bulan dan bintang bagi penentuan waktu yang disebut mawaqit.

Asas penentuan awal bulan hijriah yang digunakan oleh umat Islam khasnya dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah adalah didasarkan kepada pergerakan bulan dan bumi mengelilingi matahari. Ia menjadi asas perhitungan awal bulan dan tahun yang mempunyai hubungkait yang rapat dengan ibadat puasa dan hari raya puasa. Al-Quran dan Sunnah memberi panduan untuk membuat penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.

Para ulama' telah berbahas dengan panjang lebar berkenaan isu ini di dalam kitab-kitab mereka yang muktabar. Berdasarkan pedoman-pedoman ini, lahirlah tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:

(a) Rukyah (melihat anak bulan)

(b) Hisab falak (pengiraan)

(c) Rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria imkanur-Rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (hilal)

Perbezaan amalan dan cara di atas berlaku adalah berpunca daripada perbezaan dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan. Malaysia mengamalkan cara penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur-rukyah.

Asas Penentuan Awal Ramadhan Dan Syawal Dari Sudut Syarak

Apabila membicarakan tentang asas penentuan awal Ramadhan dan Syawal dari sudut syarak, ia merujuk kepada panduan yang telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita iaitu al-Quran, Sunnah dan pandangan ulama'.
Berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadis dan pendapat ulama' serta kajian astronomi modern, kaedah rukyah dan hisab sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana menepati kehendak syarak.

Menentukan awal Bulan Islam (Qamariah).

Awal bulan Islam atau Qamariah (dari Muharram hingga Zulhijjah) bermula pada waktu maghrib (matahari terbenam) hari "terlihatnya" anak bulan (hilal). Di Malaysia, penentuan awal bulan Islam (Qamariah) bagi tahun Hijriah berdasarkan kepada kaedah Rukyah dan Hisab. Kaedah ini digunakan terutamanya bagi menentukan 3 bulan utama Islam iaitu awal Ramadhan, awal Syawal dan awal Zulhijjah. Bagi setiap bulan yang lain dari 3 bulan utama di atas, kaedah yang sama juga digunakan terutamanya bagi tujuan pembinaan Kalendar Islam.

Rukyah

Rukyah ialah melihat anak bulan (hilal) pada 29hb Qamariah di tempat-tempat rasmi seluruh Malaysia dengan mata kasar atau dengan bantuan peralatan-peralatan optik yang canggih seperti teleskop, teodolit, Total Station dan binocular dan dikendalikan oleh mereka-mereka yang pakar dan terlatih.

Pada petang 29hb Sya'aban, 29hb Ramadhan dan 29hb Zulkaedah pada setiap tahun, Jawatankuasa melihat anak bulan peringkat negeri akan melaksanakan rukyah di 28 buah tempat cerapan rasmi di seluruh Negara.

Jawatankuasa ini terdiri daripada :

1. Mufti Negeri (sebagai pengerusi dan ketua rombongan)
2. Kadi Besar
3. Pengarah Jabatan Ukur Negeri (beragama Islam) atau wakilnya (beragama Islam)
4. Setiausaha Majlis Agama Islam
5. Seorang Ahli Falak

Sekiranya hilal iaitu anak bulan kelihatan, maka keesokan harinya ditentukan sebagai awal Ramadhan, awal Syawal dan awal Zulhijjah, tetapi sekiranya anak bulan tidak kelihatan, hisab kedudukan bulan yang berpandukan kepada kriteria Imkanur-Rukyah iaitu keboleh-nampakan hilal akan diguna-pakai bagi penentuan awal Ramadhan, awal Syawal dan awal Zulhijjah. Mereka yang terlibat dalam pengiraan kaedah ini juga adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam ilmu astronomi.

Tarikh melihat anak bulan dan penetapan tarikh puasa dan hari raya diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja melalui media masa menjelang tibanya tarikh berkenaan.

Hisab.
Hisab ialah menentukan kedudukan anak bulan (hilal) pada petang 29hb Qamariah berpandukan stesyen rujukan rasmi di Kg Ateamu, Sandakan, Sabah iaitu tempat paling timur di Malaysia dan stesyen rujukan rasmi di Tanjung Chincin, Langkawi, Kedah iaitu tempat paling barat di Malaysia.

Kriteria Imkanur-Rukyah
Bermula tahun 1993, Negara-negara anggota MABIMS ( Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura) bersepakat menerima-pakai kriteria Imkanur-Rukyah bagi menentukan awal Ramadhan dan awal Syawal, di mana sebelum matahari terbenam ijtimak (apabila bulan, bumi dan matahari berada di garisan atau longitud yang sama) telah berlaku pada 29hb Qamariah dan melalui perkiraan anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya tidak terlindung oleh keadaan cuaca apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:

· Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada 2 derajat dan jarak lengkung bulan- matahari tidak kurang daripada 3 derajat atau

· Ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku)

Pada tahun 1995 barulah penentuan awal Zulhijjah dan bulan-bulan lain dibuat berpandukan kriteria Imkanur-Rukyah.

Dalam erti kata lain, bagi menentukan awal Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan bulan-bulan qamariah yang lain, rukyah dan hisab berpandukan kriteria yang telah disebutkan tadi merupakan kaedah yang diguna-pakai dinegara kita.

Kecanggihan teknologi dan perkiraan sekarang memungkinkan kita untuk membuat perkiraan tentang kedudukan bulan dengan tepat. Bagaimanapun, samada hilal boleh dilihat di sesuatu lokasi atau tidak agak sukar untuk dijangkakan.

Kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan cuaca, ketinggian bulan ketika maghrib, jarak lengkung bulan-matahari ketika maghrib, tempoh masa antara matahari terbenam dan bulan terbenam, pencemaran udara, peralatan optic, pencerap dan sebagainya. Oleh itu, kaedah penetapan kriteria Imkanur-Rukyah (Kebolehnampakan hilal) yang mengambil kira faktor-faktor tersebut digunakan bagi menentukan permulaan bulan Islam. Kriteria ini boleh disesuaikan berdasarkan laporan-laporan rukyah yang dibuat dari masa ke semasa.

Kedudukan Anak Bulan (Hilal) Syawal 1430 H.

Berikut ini akan ditunjukkan kedudukan Anak Bulan (hilal) awal syawal 1430 H samada dapat di rukyah atau tidak. Lebih lanjut akan diberikan maklumat mengenai Matahari, Anak Bulan pada hari rukyat dan juga Kriteria Imkannur-Rukyah yang duguna pakai di Malaysia.

Pada 29 Ramadan 1430 bersamaan dengan 19 September 2009 ( Sabtu), Ijtimak bulan dan matahari berlaku pada jam 2:45 pagi.

Data rukyah untuk 19 September adalah saperti berikut:

Berdasarkan hisab ini, kedudukan anak bulan (hilal) memenuhi kriteria imkannur-Rukyah. Anak Bulan (Hilal) mungkin juga dapat dicerap pada malam itu kerana berada 19 menit diatas ufuk.

Dibawah ini ditunjukkan kedudukan Bulan dan matahari jika dirukyah di Tanjung Cincin, Pulau Langkawi. Lokasi ini dipilih kerana ianya terbarat sekali di kawasan Malaysia.

Bulan pada ketika itu memehuhi syarat Imkanur-Rukyat dan 1hb Syawal akan bermula pada malam itu dan harinya pada 20hb September 2009.

Ini bermakna 1 Syawal 1430 akan jatuh pada hari Ahad, 20 September 2009 olih itu Ramadan 2009 hanya 29 hari.

Walau bagaimanapun, pengistiharaan tarikh bermulanya 1 hb Syawal 1430 H akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja Melayu seperti biasa.

No comments: