Wednesday, January 6, 2010

Selamat datang dunia baharu!

http://www.malaysiaharmoni.com
Sesi Persekolahan Bermula
KUALA LUMPUR, 5 Januari - Kebanyakan sekolah di Malaysia memulakan sesi pesekolahan tahun 2010 semalam. Di mana-mana pun, suasana kemasukan pelajar baharu Tahun 1 sering menarik perhatian ramai.
Tinjauan Malaysia Harmoni di Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak(SRIAAG) di Sungai Pusu dekat sini semalam bagaimanapun mendapati senario yang berbeza. Jika di sekolah-sekolah lain, drama tangisan pelajar Tahun 1 ini agak lumrah, sejumlah 110 orang pelajar yang datang melaporkan diri ke sekolah ini kelihatan tenang dan bersedia.
aBagi pasangan Muhamad Hizal Mustafa dan Elya Juliana Hakimi, biarpun ini kali pertama menghantar anak ke SRIAAG, mereka tidak menghadapi sebarang masalah.
“Alhamdulillah, tindakan memindahkan anak kami ke sebuah sebuah tadika Islam dari tadika lain tahun lalu membawa perubahan yang ketara. Anak kami menunjukkan peningkatan mendadak terutama dari segi bacaan doa dan hafazan termasuk ayat Kursi, ayat seribu dinar, surah-surah lazim dan sebagainya,” kata Muhamad Hizal, merujuk kepada Pasti Asy-Syakirin yang terletak berhampiran rumahnya di Bangi, Selangor.
Anak pasangan ini, Muhamad Darwisy Amzar, terpilih untuk memasuki tahun satu SRIAAG setelah berjaya melepasi ujian tapisan yang ketat. Daripada 160 permohonan, pihak sekolah terpaksa menolak 50 orang bagi menjamin suasana pembelajaran yang selesa buat pelajar-pelajarnya.
Muhamad Hizal, 33, yang bekerja sendiri dan mempunyai pejabat di Taman Prima Saujana, Kajang yakin pemilihan SRIAAG adalah yang terbaik biarpun terpaksa keluar rumah awal unuk menghantar anaknya.Bagaimanapun, kedudukan isterinya yang bekerja di CIDB Malaysia, Jalan Pahang di sini memudahkan sedikit pergerakan mereka.
“Selepas menghantar dua orang anak kecil kami ke nurseri berdekatan rumah, suami akan menghantar saya dan Darwisy ke destinasi masing-masing. Begitu pula keadaannya pada sebelah petang untuk pulang ke rumah,” ujar Elya.
Muhamad Hizal menganggap rutin ini sebagai pengorbanan yang perlu dihadapi oleh ibu bapa yang mahu melihat anaknya berjaya menguasai ilmu dunia dan akhirat. Beliau yang mengenali Al-Amin melalui kawan-kawan dan bacaan di majalah berasa yakin dengan sistem pendidikan bersepadu yang ditawarkan, lebih-lebih lagi suasana pembelajaran dan amalinya menekankan aspek pembentukan insan bertakwa. Beliau turut melahirkan harapan untuk melihat anaknya menjadi seorang hafiz al-Quran.
aHarapan yang sama turut dikongsi oleh dua sahabat lama, Saidi Che Hassan, 44, dan Hj Yusdi Yusof, 44. Mereka yang berasal dari Kelantan pernah belajar bersama-sama di Kolej Pengajian Persediaan (Matrikulasi) Australia di UiTM, Shah Alam dan kini sama-sama pula menghantar anak-anak ke SRIAAG.
Selain mendaftarkan anak ke Tahun 1, Saidi mempunyai dua orang anak lagi di Al- Amin iaitu di Tahun 3 dan 5. Yusdi pula mempunyai empat orang anak yang belajar di sekolah sama termasuk yang baru dimasukkan ke Tahun 1 semalam, dan seorang di Tingkatan 1 yang meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Gombak (SMIAAG). Bangunan SMIAAG terletak di dalam kawasan yang sama iaitu di belakang bangunan SRIAAG.
Ditanya apa yang menarik tentang sekolah swasta ini sehingga menghantar empat orang anaknya belajar di Al-Amin, Yusdi yang bertugas di Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya menjawab, “Yang penting bagi saya sebagai bapa ialah memastikan anak-anak mendapat ilmu yang secukupnya. Ilmu itu pula perlu merangkumi dunia dan akhirat. Di sini kedua-dua perkara tersebut ada dan wujud pula suasana yang cukup baik dalam membentuk anak-anak menjadi insan soleh yang terpuji akhlaknya.”
aMenggambarkan suara pelajar-pelajar SRIAAG, Hannan Mohd Apandi (gambar), 12, yang baru dilantik sebagai Penolong Ketua Pelajar mengajukan pandangannya:
“Sepanjang lima tahun saya di sini, suasananya memang cukup menyeronokkan. Kawan-kawan semuanya baik-baik, guru-guru juga kebanyakannya profesional walaupun ada seorang dua yang garang.”
Hannan yang mengagumi ketokohan khalifah Islam kedua, Umar al-Khattab berkata, ketika mula-mula melaporkan diri dahulu, beliau tidak berasa sedih langsung, lebih-lebih lagi disebabkan pada waktu itu seorang kakaknya memang pelajar di sekolah ini.
Anak seorang juruukur tanah ini juga cemerlang dalam pencapaian akademiknya selain aktif dalam aktiviti ko-kurikulum (media dan drama) dan sukan (lari berhalangan).
aSementara itu, Guru Besar SRIAAG, Ustaz Zubir Osman, (gambar) ketika ditemui berkata, perbezaan paling ketara antara Sekolah Al-Amin dengan sekolah lain ialah falsafah pendidikan dan penghayatan Islamnya yang didukung oleh semua pihak.
“Komitmen daripada semua pihak dari peringkat bawah sampai atas melahirkan kekuatan Al-Amin iaitu persekitaran pembelajaran yang Islamik dari segi teori dan praktikalnya. Walaupun kegiatan ko-kurikulum di sini tidak banyak berbeza dengan sekolah-sekolah lain, kelainan kita ialah kita menekankan perkara-perkara berkaitan dengan pergaulan, amalan solat dan fikrah Islam,” tambahnya lagi.
Ustaz Zubir, 39, yang menerajui SRIAAG sejak 2006 seterusnya menjelaskan, meskipun ada ibu bapa yang mengatakan yuran di sekolah swasta ini mahal, pengalamannya tidak menunjukkan masalah yuran menjadi bebanan utama ibu bapa. “Malah jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah swasta lain, yuran di Al-Amin agak rendah. Lagipun sekolah ini memang disasarkan untuk golongan sederhana. Yuran yang dikenakan adalah dalam kemampuan golongan ini, dan mereka pula mendapat pulangan yang berbaloi dari segi pendidikan anak-anak,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ustaz Zubir mengakui, jumlah yuran yang dikutip cukup untuk menampung kos operasi sahaja.
“Untuk tujuan pembangunan, kita masih memerlukan sumbangan daripada pihak luar seperti pusat zakat dan para dermawan. Alhamdulillah, baru-baru ini, kerajan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang dipengerusikan oleh Dr Halimah Ali memulakan langkah positif dengan memberi bantuan kepada 144 buah sekolah swasta di negeri ini termasuk Al-Amin. Dan kerajaan negeri menjanjikan bahawa ini adalah bantuan yang berterusan,” katanya.
Sekolah rendah dan menengah Islam Al-Amin merupakan sebahagian daripada 32 buah sekolah serupa di seluruh Malaysia yang bernaung di bawah Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Islam Malaysia.
Ustaz Zubir berharap masyarakat akan terus menyokong dan yakin bahawa sistem pendidikan bersepadu sebagaimana yang ditawarkan oleh rangkaian sekolah Al-Amin ini mampu memberi kejayaan akademik yang cemerlang di samping aspek agamanya seimbang.
“Masyarakat tak perlu risau kemampuan sistem pendidikan bersepadu ini. Hari ini ia bukan lagi satu alternatif, bahkan menjadi keperluan,” kata beliau menyimpul bicara.
Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu memulakan sesi persekolahan sehari lebih awal (Ahad) manakala negeri-negeri lain memulakannya semalam (Isnin).
a
a
a
a

No comments: